Dalam satu masyarakat ikan yang berkoloni di dalam air. Ada seekor pemuda ikan yang ego. Pemuda ikan ini selalu mengengkari seruan ikan-ikan yang lebih berpengalaman dan lebih tua atau lebih dulu makan garam laut daripadanya. Ikan-ikan tua selalu menasihatkan masyarakat tentang makanan yang tergantung di tali, dan janganlah sesekali mereka cuba memakannya walaupun rasanya mungkin sedap dan kelihatan sungguh lazat. Itu adalah tipu daya. Sekiranya kamu makan juga kamu akan dibawa keluar dari alam ini.
Di sana kamu tidak boleh bernafas kerana tiada air. Kamu akan dipotong-potong dan dimasukkan kedalam minyak yang panas dan akhirnya kamu akan di makan oleh makhluk ghaib bernama manusia yang kejam itu. Pemuda ikan yang ego itu tidak mempercayai langsung cerita ini. Katanya tak logik adanya alam seperti itu. Itu adalah karut dan rekaan ikan-ikan tua. Mana ada makhluk ghaib seperti itu, ia tak logik begitu lah fikiran pemuda yang menganggap dirinya lebih bijak dari ikan-ikan lain. Pada suatu hari sedang pemuda ikan itu keluar mencari makan maka terjumpalah cacing yang tergantung dengan tali.
'' Agaknya inilah yang diberitahu oleh ikan-ikan tua tu, nampak macam sedap,lazat berkrim dan tidak seperti merbahayakan. Mungkin kalau aku tak makan, mesti si tua itu pula yang memakannya. Aah baik aku makan.. makanan ni kan logik..he he.'' lalu pemuda ikan itu terus membaham cacing itu tiba-tiba dia tercekik sesuatu dan berusaha mengeluarkannya namun gagal. Rasa kesal menyelubunginya '' kalaulah aku mendengar nasihat mereka, tidaklah jadi begini''. Pemuda ikan itu menarik tali itu dengan harapan ia akan putus. Tetapi sebaliknya sesuatu telah menarik tali itu keatas permukaan air dan terus mengheret pemuda ikan itu keluar dari air. Maka nampaklah dia alam lain tanpa air dan nafasnya terasa sesak.
Rupa-rupanya benar apa yang dikatakan oleh ikan tua, kini yakinlah dia tentang kebenaran itu, kalaulah dia boleh melepaskan diri dan kembali ke dalam laut dia akan memberi peringatan kepada ikan-ikan lain supaya ikutlah cakap ikan yang lebih tua kerana mereka lebih ilmu dan pengalaman. Sekian ye, anak-anak.
Kasih sayang merupakan satu keperluan manusia.Bagaimanapun kasih sayang yang tidak bertempat mampu merosakkan dan jika tiada kasih sayang, kekejaman kesudahannya seperti mana gejala pembuangan bayi hari ini.Justeru itu program Curahan Kasih dianjurkan khasnya kepada murid-murid tahun 6 SK Pedas bertujuan memberi kekuatan dan semangat untuk menghadapi peperiksaan. Kehadiran ibu bapa bersama anak-anak dalam program merupakan satu bentuk kasih sayang. Kecemerlangan anak-anak bukan sahaja terletak dibahu mereka malah juga perlu sokongan daripada ibu dan bapa.Program selama tiga jam ini bertujuan memberi keinsafan dan kesedaran serta motivasi kepada mereka yang terlibat supaya tidak lupa peranan masing-masing dalam menggapai kecemerlangan dunia dan akhirat. Program anjuran Unit Bimbingan Dan Kaunseling dengan kerjasama guru-guru Tahun 6 SK Pedas boleh dikatakan amat berjaya dalam mencapai objektifnya. Sekalung tahniah dan penghargaan kepada guru-guru yang cemerlang dan hebat ini:
En.Abd.Manan Maulod (GPK Ko-Kurikulum) Pn. Hamizah Tan (penyelaras tahun 6) Pn.Norliah Abd.Latif Pn.Normala Sharif Pn.Noraini Salleh Pn.Norizan Hasan Pn.Norizan Mohd.Ali Pn.Mariati Mohd.Nor CikRosnida Mohd.Nor Cik.Siow Chu Lee Pn.Norazita Abdullah Pn.Fasnita Bahrun Pn.Elis Rosliza Yahaya En.Mohd.Yusuf Husin En.Abd.Wahab Mohamad
Tidak lupa juga kepada En.Amir b.Uyub selaku YDP PIBG yang turut meluluskan sumbangan kewangan. Jasa dan bakti anda semua hanya Allah yang dapat membalasnya.
Program ini dikendalikan oleh En.Zuhairi Mohd.Nopiah atau Ateh daripada MAINS bersama rakan En. Mohammad Mustaqim Abd.Rahim pada 6 Mac 2010 di Dewan Seri Gemilang, SK Pedas. Syabas.
"There is a magnet in your heart that will attract true friends. That magnet is unselfishness, thinking of others first... when you learn to live for others, they will live for you."
TERDAPAT segelintir murid yang beranggapan puasa merupakan satu amalan yang menjadi halangan untuk belajar. Selalunya mereka mengaitkan amalan puasa ini dengan keadaan letih dan lapar yang boleh mengganggu proses pembelajaran.
Anggapan seumpama itu sebenarnya salah. Apabila disebut sebagai amalan sudah tentu ia mempunyai hikmah atau ganjaran di sebaliknya. Sebenarnya sepertimana yang telah diketahui bulan Ramadhan itu sendiri merupakan bulan yang mulia. Pada bulan itu setiap umat Islam disuruh meningkatkan lagi ibadah. Ilmu itu ialah satu amalan dan ianya merupakan satu ibadah. Oleh itu setiap ibadah yang dilakukan akan mendapat pahala atau ganjaran yang berlipat kali ganda jika ianya dilakukan secara ikhlas.
Oleh yang demikian amalan belajar serta menduduki peperiksaan di bulan Ramadhan ini amatlah baik. Menyedari hakikat ini murid-murid haruslah berusaha dengan mempelajari dan mengulang kaji pelajaran secara ikhlas dan bersungguh-sungguh. Semoga keikhlasan kita belajar serta kesanggupan kita menghadapi pelbagai cabaran akan mendapat petunjuk daripada Allah. Janganlah bulan puasa ini dijadikan alasan untuk mengelak diri kita daripada membuat persiapan menghadapi peperiksaan malah kita harus meningkatkan lagi usaha kita untuk belajar.
Murid-murid seharusnya mengambil peluang seluas-luasnya masa yang ada di bulan Ramadhannya ini dengan mengimbangi antara belajar dengan beramal yang dapat dilakukan seperti berikut:
• Beramal: Memastikan murid berpuasa sepanjang masa dengan tidak melanggari syarat yang boleh membatalkan puasa atau mengurangkan pahala. Murid juga harus meningkatkan amalan solat termasuk solat tarawih dan qiamullial.
• Berdoa: Banyakkan berdoa agar segala hajat kita yang baik itu akan dimakbulkan oleh Allah. Jadikan doa ini sebagai amalan sepanjang masa yang boleh menjadi benteng pada diri kita daripada menerima apa-apa musibah.
• Belajar: Tingkatkan usaha kita untuk belajar. Ingat! belajar di bulan Ramadhan ini banyak pahalanya. Jika menghadapi kesukaran jangan kecewa atau berputus asa. Ambil tindakan segera agar segala pembelajaran boleh difahami dan mendapat penjelasan yang sepenuhnya.
Semoga bulan Ramadhan yang mulia ini akan meningkatkan kemulian diri kita dalam proses membuat persediaan menghadapi peperiksaan. Ingat! setiap amalan yang ikhlas itu akan mendapat ganjaran yang sewajarnya daripada Allah. InsyaAllah!
Mendekati bermaksud menghampiri atau berada bersama-sama manakala menjauhi bermaksud tidak suka bersama atau cuba mengelak daripada berjumpa dengan mereka. Jika perkara ini dirujukkan kepada guru maka seseorang murid itu perlulah menghampiri guru dalam proses pembelajaran. Mereka yang suka menjauhi guru ialah mereka yang tidak berminat untuk belajar dan tidak mahu dibimbing oleh guru.
Seseorang murid seharusnya mendekati guru berdasarkan butiran berikut:
• Guru sebagai sumber ilmu: Kita datang ke sekolah untuk menuntut ilmu. Walaupun ilmu itu berada di mana-mana tetapi peranan dan tunjuk ajar guru amat diperlukan untuk memberi lebih pemahaman kepada kita. Tanpa ilmu kita ibarat kapal belayar di tengah lautan tanpa nakhoda. Sudah tentu ia akan terumbang-ambing dan mungkin juga akan tenggelam dihempas ombak.
• Guru sebagai pembimbing: Setiap murid harus dibimbing setiap hari. Walaupun kita diminta berdikari tetapi bimbingan daripada guru amat diperlukan kerana guru ialah pengganti ibu bapa ketika disekolah.
• Guru sebagai penyelesai masalah: Guru mempunyai pelbagi tugas dan kemahiran. Contohnya menjaga disiplin pelajar, memberi motivasi dan kaunseling, mengajar, melatih aktiviti sukan atau aktiviti kebudayaan. Oleh itu jika kita rajin berdamping dengan guru bermakna kita akan dapat berbagai pengalaman dan kemahiran untuk menjadi pelajar cemerlang dalam akademik dan ko-kurikulum.
• Guru sebagai rakan: Guru juga ialah insan yang mempunyai perasaan serta suka berkawan. Oleh itu pada masa tertentu guru boleh dijadikan rakan yang mampu memahami kehendak dan masalah yang dihadapi oleh murid-murid. Walaupun guru dianggap sebagai rakan namun mereka perlu dihormati dan segala arahan guru haruslah diamalkan sepanjang masa.
• Guru sebagai penyuluh cahaya: Ungkapan ini bermaksud guru sentiasa memberi bimbingan yang membolehkan murid-murid mendapat kejayaan bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi dalam juga segala aspek kehidupan murid tersebut.
Setelah mengetahui betapa besarnya peranan guru serta peluang yang kita boleh perolehi, maka janganlah kita menjauhi guru tetapi kita perlu sentiasa mendekati mereka. Jika menghadapi sebarang masalah kita sewajarnya menghubungi guru untuk mendapat panduan yang sebaiknya daripada mereka. Jangan sekali-kali membenci atau memarahi mereka. Anggaplah mereka itu sebagai ikon ke arah kejayaan diri kita.
"There are people who make things happen, there are people who watch things happen, and there are people who wonder what happened. To be successful, you need to be a person who makes things happen." Jim Lovell
Cubalah kita semua renungkan petikan kata-kata di atas. Jika mahu sesuatu menjadi kenyataan adalah lebih baik berusaha dan bergerak daripada banyak memberi alasan.
Pada musim peperiksaan ramai murid mula pening kepala. Apa tidaknya, banyak benda dah tak ingat dan ditambah dengan persediaan yang ala kadar je. Puncanya mungkin perancangan yg kabur ataupun tak de langsung. Banyak main, tengok tv dan zaman sekarang satu lagi 'ancaman' kepada pelajar - ps, sms dan internet. Oleh itu seseorang murid perlu membetulkan pemikiran dan sikap supaya lebih fokus terhadap apa yg hendak dicapai. Justeru itu marilah kita amalkan petua hadapi peperiksaan daripada Dr Tengku Asmadi ni.
Jangan panik Sebaik melangkah masuk ke dewan peperiksaan, jangan panik kerana ia mampu membuatkan kita lupa 50 peratus apa yang sudah dipelajari selama ini. Tanamkan keyakinan dalam diri anda boleh menjawabnya.
Kajian terhadap topik dan pemetaan maklumat Semak sama ada anda memahami sepenuhnya, separuh atau tidak memahami langsung bab berkenaan. Jika ada bab yang belum difahami sepenuhnya, segera buat peta minda dengan mencatat maklumat penting yang berkaitan.
Semak soalan tahun lalu (setiap subjek) Biarpun soalan akan berubah setiap tahun, anda tetap perlu menyemaknya untuk membandingkan kekerapan topik berkenaan keluar dalam setiap peperiksaan.
Banyakkan pembelajaran secara output learning Di saat-saat akhir, anda seharusnya banyak mengulang kaji pelajaran secara output learning iaitu mengeluarkan kembali kefahaman anda kepada bentuk lakaran ataupun menerangkan kepada rakan. Ia dapat membantu menguatkan ingatan terhadap sesuatu mata pelajaran.
Memperbanyakkan latih tubi dan ujian simulasi Satu cara untuk menguji sejauh mana pemahaman anda terhadap sesuatu subjek adalah melalui latihan berterusan (latih tubi) dan soalan tahun sebelumnya. Ia mampu menolong anda mengatasi bahagian subjek yang lemah.
Nota ringkas Nota ringkas amat penting dan berguna kerana ia senang dibawa ke mana saja. Anda boleh membaca catatan nota ringkas berkenaan di waktu terluang.
Pastikan mendapat tidur dan rehat secukupnya Biar sesibuk mana sekalipun, anda perlu mendapat tidur dan rehat cukup. Jangan lupa bersenam sekurang-kurangnya 10 minit bagi memastikan badan kekal cergas. Pengaliran oksigen yang baik boleh menghasilkan otak yang cerdas.
Pemakanan berkhasiat dan seimbang Elak mengambil terlalu banyak makanan yang mengandungi kafein kerana anda mungkin akan sukar tidur dan hilang tumpuan.
Kawal emosi Elak terbabit dalam sebarang konflik yang boleh menggugat ketenangan emosi di saat anda akan menduduki peperiksaan. Jangan menimbulkan sebarang pertelingkahan atau terasa hati dengan rakan-rakan atau keluarga kerana ia boleh menggugat ketenangan ketika menjawab soalan kelak.
Banyakkan berdoa dan bersolat Sebagai makhluk yang lemah, kita memang tidak dapat lari daripada berdoa kepada Allah s.w.t. Bagi yang beragama Islam, anda perlu memper banyakkan solat hajat, tahajud dan berdoa memohon bantuan-Nya. Sebelum melangkah ke dewan peperiksaan, pohon keampunan dan keredaan daripada ibu bapa dan guru.
Dalam kehidupan sehari-hari, kita sentiasa menghadapi banyak rintangan tanpa diduga. Kehilangan orang yang dikasihi, menghadapi masalah kewangan ketika kita benar-benar memerlukannya, pertukaran guru yang disayangi, dan pelbagai masalah lain boleh menyebabkan pelajar secara tidak disedari menjadi seorang yang bersifat negatif.
Membina sikap positif boleh dilakukan jika kita membebaskan minda kita daripada perkara-perkara yang rumit.
Melihat sesuatu perkara dalam bentuk yang mudah, menggembirakan dan menyenangkan.
Dalam proses tersebut kita mungkin perlu melakukan pelbagai tindakan yang tegas dan berdisiplin. Antaranya adalah seperti berikut:
1. Tugas utama sebagai pelajar ialah menentukan keputusan yang cemerlang dalam akademik di samping pembangunan diri. Jangan campuradukkan dengan pelbagai perkara yang boleh membawa kepada emosi yang tidak stabil.
2. Rakan yang bersikap negatif. Terdapat dua kemungkinan, sama ada anda dapat mempengaruhi atau anda dipengaruhi oleh mereka. Ada masanya kita perlu menghapuskan perhubungan seumpama ini bagi menjaga sikap positif yang ada pada diri kita.
3. Memastikan keseimbangan antara keperluan rohani dan jasmani. Jangan jadi ulat buku tanpa mengambil kira aspek-aspek lain. Penumpuan pada satu perkara boleh menimbulkan ketegangan mental dan fizikal. Yang lebih penting ialah sikap bersederhana dalam setiap tindakan.
Mengekalkan sikap positif merupakan aspek yang paling penting. Kita mungkin menjadi kecewa apabila rakan-rakan kita bersikap tidak menyokong dalam pergaulan sehari-hari.
Mungkin anda pernah dicop dengan pelbagai label, seperti, sebagai pelajar yang antisosial, `mat belia' atau `tidak rugged' atau mungkin dituduh sebagai pelajar yang kuat mengampu guru atau pensyarah.
Anda tidak perlu melawan atau membalas kalau dilabelkan dengan label yang bersifat negatif. Mungkin cara yang terbaik ialah dengan mencampakkan sikap positif anda kepada mereka.
Sikap yang bersahaja, melihat kata-kata negatif sebagai gurauan dan terus mendampingi mereka sehingga pada satu tahap tertentu memungkinkan mereka untuk berubah.
Banyak kejadian manusia boleh berubah apabila mereka mengenali kita secara lebih dekat.
Kata orang - tak kenal maka tak cinta.
Orang yang bersikap positif biasanya mempunyai lebih ramai kenalan, berbudi bahasa dan dapat melihat kejadian dalam bentuk yang luas dan berbeza. Rakan-rakan kita tentu sekali akan berasa iri hati dengan ketenangan, kesabaran dan kepintaran kita apabila berhadapan dengan sebarang masalah.
Pembelajaran yang berkesan ialah pembelajaran yang menyeronokkan. Apabila keseronokan dirasai, segala keletihan, kerisauan atau kebosanan terhadap pelajaran dapat diatasi.
Oleh itu setiap murid haruslah bersedia agar diri mereka berada dalam keadaan yang seronok terutamanya ketika belajar. Bagaimanakah caranya untuk mewujudkan keseronokan pada diri ketika belajar?
Kekemasan: Pakaian yang kemas, rambut yang terurus, susunan buku yang baik
Caranya: Pastikan pakaian sekolah berada dalam keadaan bersih, kasut tidak kotor, rambut lelaki digunting dengan baik, rambut perempuan diurus dengan kemas serta bertudung, buku yang dibawa ke sekolah berada dalam keadaan yang baik tidak terkoyak dan mudah diambil apabila diperlukan.
Kesihatan: Diri yang sihat tanpa penyakit, keadaan bilik darjah yang bersih.
Caranya: Pastikan murid membersih diri setiap hari. Pastikan kawasan bilik darjah dan sekolah bebas daripada wabak penyakit. Adakan senarai tugas untuk membersih kawasan bilik darjah masing-masing. Guna tandas dengan baik. Jangan makan makanan yang tercemar atau terdedah.
Tingkahlaku/budi bahasa: Cara berbual dengan guru dan rakan. Tidak melanggari peraturan sekolah. Tidak ponteng sekolah.
Caranya: Perlu menghormati guru serta patuh segala arahan terutama apabila guru memberi tugasan kepada murid. Rakan juga harus dihormati. Jangan bergurau sehinggakan menyakiti hati rakan dan berakhir dengan perkelahian. Rajin ke sekolah, jangan terpengaruh dengan remaja luar yang ponteng sekolah.
Minda sihat: Mampu menggunakan fikiran ketika belajar
Caranya: Sentiasa berfikir sewaktu belajar. Banyak berinteraksi dengan guru dan rakan. Banyak membuat latihan.
Jiwa tenang: Menumpukan sepenuh perhatian ketika belajar
Caranya: Tidak menaruh rasa benci, marah, iri hati terhadap rakan atau guru. Sentiasa bersyukur di atas keselesaan yang dirasai. Sentiasa muhasabah diri untuk mengelak rasa bongkak dan sombong.
Cara-cara yang dinyatakan mampu menjadikan bilik darjah itu sebagai “rumah kedua” untuk murid-murid. Apabila diri dan bilik darjah dalam keadaan yang selesa maka pembelajaran dapat berlaku dengan baik. Tidak ada rasa bosan di jiwa kita malah ada pula murid yang suka datang ke sekolah untuk belajar walaupun pada waktu petang atau pada hari cuti hujung minggu.
UJI KREATIVITI ANDA!
Sediakan satu poster yang mengandungi langkah-langkah mewujudkan keseronokan belajar. Anda boleh menciptanya dengan menggunakan sebarang perisian berbantukan komputer yang sesuai atau melalui lakaran tulisan tangan. Sisipkan juga gambar/lukisan/lakaran untuk dijadikan hiasan pada poster anda. Lekatkan di papan pamer kelas anda.
Di sini disertakan beberapa cara untuk memenuhi perasaan ingin tahu anak, memupuk proses pembelajaran dan keupayaan berfikir.
1. Bekalkan kepada mereka barang asas penerokaan seperti kaca pembesar, magnet, pita pengukur dan beberapa lagi objek yang membolehkan mereka belajar.
2. Libatkan dia dalam kerja rumah atau sebagai 'orang suruhan' (pembantu) dalam urusan perbankan dan membeli-belah.
3. Ambil masa bersama seperti pergi ke taman, berjalan-jalan di kawasan perumahan atau ke mana sahaja. Tunjukkan beberapa benda yang baru kepada mereka seperti burung, pokok, binatang dan tanyakan tentang tentang apa yang mereka dengar dan lihat,
4. Beri peluang kepada anak untuk mendengar muzik atau menyanyikan kepadanya. Atau anda boleh membantu membuat suara atau bunyi bersama. Anda juga boleh dapatkan instrumen muzik yang anda suka untuk memupuk minat muzik mereka.
5. Bekalkan mereka dengan material yang dapat memberi pengetahuan dan merangsang interaksi seperti boneka, barang mainan yang lembut dan blok-blok huruf atau apa sahaja.
Ibu bapa juga boleh bekalkan kepada anak suasana yang penuh dengan petanda, bau, bunyi, rasa dan sentuhan. Ia dapat membantu perkembangan minda dan pengetahuan baru. Tetapi perlu diingat, anda perlu secara perlahan-lahan memperkenalkan objek baru atau pengalaman baru itu kepada mereka. Seperti contoh, ada satu bunyi bising yang boleh menganggunya tetapi jangan sesekali lakukan itu dengan tujuan untuk menakutkannya.
Perasan ingin tahu boleh mempengaruhi cara pemakanan
Disebabkan anak berada di peringkat usia muda, jadi semua yang berada di sekelilingnya akan menarik perhatiannya. Ini adalah masa yang paling sesuai untuk memperkenalkan makanan baru kepada mereka. Memperkenalkan rasa yang baru, perbezaan tekstur dan aroma adalah bagi merangsang perkembangan pengetahuan asas nutrien (zat-zat makanan) yang baik dalam kepelbagaian menu harian.
Diet yang pelbagai seperti karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral dapat merangsang pertumbuhan dan perkembangan tumbesaran. Perlu diingat bahawa anak kecil juga memerlukan makanan yang dapat memberi tenaga kepadanya sepanjang hari.
Memperkenalkan makanan baru amat penting dalam memastikan dia tidak cerewet dalam memilih makanan pada masa akan datang dan dapat mengajarnya untuk menyukai semua makanan. Di sini ada beberapa idea:
1. Hidangkan makanan dalam bentuk dan saiz yang menyeronokkan seperti memotong roti atau buah-buahan kepada bentuk bintang atau sayur-sayuran dalam bentuk segi tiga.
2. Bawa anak membeli belah bagi memberi pendedahan tentang kepelbagaian makanan.
3. Benarkan anak sulung membantu di dapur dalam keadaan yang selamat seperti membasuh sayuran, mengambil bahan masakan dari peti sejuk atau menghidangkan makanan tengah hari.
4. Ceritakan perkara-perkara yang menyeronokkan sebagai pendorong kepada rasa ingin tahu itu seperti buah-buahan dan sayur-sayuran itu hidup.
5. Terangkan cara yang menarik untuk mendapatkan sesuatu makanan itu. Seperti campurkan susu dan ais krim untuk dapatkan susu kocak (boleh turut terangkan tentang susu mengandungi asid lemak seperti DHA dan AA, anti-oksidan seperti lutein dan necleotides yang berguna untuk kesihatan.
6. Makan sesuatu yang berbeza (seperti buah-buahan yang tidak pernah dilihat sebelum ini) di hadapan anak anda. Dia akan tertarik dan akan makan juga.
Tip yang berguna
Benarkan anak untuk bermain bagi memupuk perasaan ingin tahu. Cara itu dapat mempertingkatkan keupayaan minda (kognitif) untuk berfikir dan memahirkan kemahiran yang ada.
Ini kerana masa bermain yang sedikit boleh membantutkan proses penyelesaian masalah dan hilang keupayaan untuk menerangkan sesuatu maklumat itu, Ia juga dapat membantu memuaskan perasaan ingin tahunya bagi memahami dunia di kalangan orang dewasa. Jadi, bermainlah dengan anak sebanyak yang mungkin.
Formula ABCDEFGHI Amanah Pelajar yang cemerlang boleh dipercayai, jujur dan ikhlas dalam segala tindakannya. Ia sentiasa bercakap benar, tidak bohong, tidak menipu, tidak mencuri atau tidak mengambil hak orang lain. Ia sedar bahawa segala perbuatannya adalah diperhatikan oleh Tuhan.
Bijak Pelajar yang cemerlang bijak mengurus diri, menggunakan masa, serta sumber-sumber di sekeliling. Ia menggunakan masa hidupnya dengan sebaik-baiknya; melakukan hanya yang baik dan menjauhi perkara-perkara yang ditegah. Pelajar yang cemerlang juga sentiasa berusaha memperbaiki dirinya. Ia cenderung melakukan serta mempelajari perkara-perkara yang mendatangkan faedah.
Cergas Pelajar yang cemerlang sentiasa menjaga kesihatan fizikal, minda dan emosi diri. Ianya juga menjaga pemakanan serta membuat latihan jasmani. Kebijaksanaannya dalam mengurus diri serta kecenderungan melakukan hanya aktiviti-aktiviti yang berfaedah membuatkan dirinya lebih berdisiplin, sihat, dan cergas. Ini juga menyebabkannya lebih tangkas dan aktif dalam aktiviti-aktiviti yang diceburinya.
Dedikasi Pelajar yang cemerlang amat rajin, bersemangat tinggi serta komited dalam melaksanakan segala tugas dan tanggungjawabnya. Apa juga tugasannya, akan dilakukan dengan sepenuh hati. Pelajar yang cemerlang akan melakukan dengan penuh tanggungjawab dan iltizam untuk mencapai hasil yang terbaik.
Elok Pelajar yang cemerlang baik dari segi penampilan diri, tuturkata dan perbuatan. Ia mempunyai perwatakan yang ceria, yakin dan senang didampingi. Ianya juga menjauhi diri daripada perbuatan maksiat. Ianya sedar bahawa mereka yang bergelumang dengan maksiat mempunyai jiwa yang resah. Hidup juga tidak diberkati Tuhan.
Pelajar yang cemerlang menjadi contoh kepada pelajar yang lain, baik dari segi gerak-gerinya, fikiran dan percakapannya serta tindakan-tindakannya. Keelokan peribadinya disanjung baik oleh orang lain termasuk guru-guru, ibu-bapa serta keluarganya.
Faham Pelajar yang cemerlang lebih banyak mendengar daripada bercakap. Sikapnya yang demikian, menyebabkan ia lebih banyak berfikir, menganalisa dan mengetahui sesuatu isu sebelum ianya memberi maklumbalas. Ingatannya juga kuat kerana ia mempunyai kualiti yang ingin benar-benar memahami apa yang didengar, dibaca, dilihat atau yang dipelajarinya.
Gigih Pelajar yang cemerlang sentiasa melakukan kerjanya dengan penuh minat dan tekun. Ia seronok belajar setiap mata pelajaran. Ianya pandai dan mudah menyesuaikan diri dengan semua guru yang mengajarnya.
Hasrat Pelajar yang cemerlang sentiasa menyimpan pada hati kecilnya suatu hasrat untuk menjadi manusia yang sangat berguna dan berjaya. Hasratnya untuk mencapai cita-cita atau impiannya memberikan suntikan motivasi kepadanya untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai kejayaan dalam kehidupannya.
Iman Pelajar yang cemerlang taat kepada perintah Tuhan dan berusaha mencapai kejayaan selaras dengan norma-norma hidup iaitu mengamalkan apa yang disuruh dan menjauhkan apa sahaja yang dilarang. Ianya juga mentaati ibubapa, pemimpin-pemimpin, guru-guru, undang-undang negara serta segala peraturan dan amalan yang harus diikuti.
"Pengiktirafan dan ganjaran datang kepada mereka yang menunjukkan kualiti yang baik dalam perbuatannya. - Aristotle"
Sekarang ni banyak-lagu-lagu berunsur ketuhanan dicipta. Tujuannya baik. Tapi mampukah ia menjadi satu cara peringatan yang berkesan. Bukan apa takut hanya jadi hiburan tapi mesejnya tak sampai. Jadi pandangan anda camna?.....Banyak tak dapat pengajaran daripada lagu ni....Sila klik pada comment untuk tulis pandangan anda..
Memang sukar untuk orang lain percaya,tapi itulah yang berlaku. Ibu saya memang seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya. Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan renungan anda sekalian.
Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan. Ada kalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga. Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering membahagikan bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, ibu berkata : “”Makanlah nak ibu tak lapar.” – PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA.
Ketika saya mulai besar ibu yang gigih sering meluangkan watu senggangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-beradik. Pulang dari memancing, ibu memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera. Sewaktu saya memakan gulai ikan itu ibu duduk disamping kami dan memakan sisa daging ikan yang masih menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi.. Saya sedih melihat ibu seperti itu.. Hati saya tersentuh lalu dengan menggunakan sudu saya memberikan ikan itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata : “Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA.
Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya,abang dan kakak. Suatu dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi saya terjaga dari tidur. Saya melihat ibu membuat kuih dengan bertemankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu terhangguk kerana mengantuk. Saya berkata : “Ibu, tidurlah, esok pagi ibu kena pergi kebun pula.” Ibu tersenyum dan berkata : “Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk lagi.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA.
Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu terus sabar menunggu saya di luar dewan. Ibu sering kali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Illahi agar saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang. Ketika loceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang ibu yang jauh lebih kental. Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata : “Minumlah nak, ibu tak haus!!” – PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT.
Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa bulan dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan. Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu. Jiran-jiran sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata : “Saya tidak perlukan cinta saya tidak perlukan lelaki.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.
Setelah kakak dan abang habis belajar dan mula bekerja, ibu sudah pun tua. Kakak dan abang menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya. Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan ibu berkata : “Jangan susah-susah, ibu ada duit.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM.
Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat sarjana di luar Negara. Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang,kemudian saya pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya juga di luar negara.
Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa ibu untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan saya, ibu sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula.
Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata ; “Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di negara orang.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH.
Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua.. Suatu malam saya menerima berita ibu diserang penyakit kanser. Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu berada jauh di seberang samudera terus segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta.
Saya melihat ibu terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua, menatap wajah saya dengan penuh kerinduan. Ibu menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.. Saya dapat melihat dengan jelas betapa penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus.
Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan air mata. Saya cium tangan ibu kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata : “Jangan menangis nak, ibu tak sakit.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN.
Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata, ‘Ibu,saya sayangkan ibu. Tapi tidak saya. Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun saya mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah sekalipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu. Ibu, maafkan saya. Saya sayangkan ibu…
Selamat bercuti dan berhati-hati semasa memandu. Kepada mereka yang bukan dari NS selamat kembali ke kampung. Balik kg Ooooo balik kg, hati girang,,,....
Kepada guru-guru yg ambil PTK selamat menjawab. Semoga semua dapat tandakan jawapan pada borang OMR. Salah betul tak pe. Janji ada jawapan.
Maafkan saya kerana lewat bagi respons. Saya baru balik dari menyelia praktikum dan banyak meeting. Hari ni baru buka emel. Lepas ni nak nagajar pula. Sibuk benor rasa.
Benar kata cikgu. Pelajar sekolah rendah banyak cabaran. Psikologi pelajar sekolah rendah berbeza dengan pelajar sekolah menengah atau pun orang dewasa.
Pelajar sekolah rendah masih kurang maklumat, kurang nilai, kurang pengalaman dan kurang matang. Kitalah yang kena memahami dunia sebenar kehidupan mereka. Kadang-kadang mungkin boring sebab dia tak faham apa yang kita faham.
Saya lihat kanak-kanak sekolah rendah boleh diberi kaunseling dan bimbingan. Cuma kaunseling wujud bila ada interaksi psikologi dan kanak-kanak itu sedia untuk menjalani sesi kaunseling. Kalau klien sekolah rendah yang dirujuk mungkin sukar sedikit kerana kaunselor kena mengambil masa untuk mewujudkan rapport. Oleh itu kebijaksanaan kaunselor lah yang membolehkan kanak-kanak tersebut berkongsi dengan jayanya.
Semua kaedah boleh digunakan dengan cara cuba jaya. Dalam kaunseling tiada kaedah yang benar-benar absolute. Ini kerana manusia itu unik. Manusia tidak sama berbanding dengan produk binaan atau makanan. Kita boleh design dan InsyaAllah produk tersebut terhasil. Tidak seperti manusia yang mempunyai pemikiran, perasaan dan boleh bertingkah laku dengan cara apa sekali pun mengikut nuraninya. Fungsi kaunseling hanya untuk memahami dan membantu kesulitan yang klien hadapi. Namun begitu sekiranya di pihak klien sendiri dia tidak hendak berubah, apa usaha kaunselor? Kaunselor boleh berusaha tetapi tidak memaksa klien. Kerana kaunselor sedar beliau hanya membantu daripada aspek teoritikal kaunseling tetapi yang menentunya adalah Allah s.w.t.
Namun begitu, perdebatan untuk membantu individu sentiasa segar dalam kalangan kaunselor kerana individu sentiasa ada kesulitan. Pandangan saya, kaunselor akan terus membantu klien sehingga klien menyatakan bahawa dia tidak ingin memerlukan pertolongan kita lagi.
Berdasarkan kepada amalan CTRT, kita kena faham klien kenapa dia bertingkah laku bermasalah. Semak Quality World, Basic Needs, Total Behaviour, Real Worl, Perceived World. Kemudian barulah kita boleh bantu klien berdasarkan kepada Reality Therapy berdasarkan prosedur WDEP. Boleh rujuk laman blog saya drjazimin.blogspot.com dan drjazimin.com untuk mengetahui lebih mendalam tentang amalan CTRT ini.
Tetapi sebagai guru lain pula peranannya. Kita bukan sekadar melaksanakan sesi kaunseling malah kita diberi juga amanah membimbing. Selagi tidak bertentangan dengan syariat bimbinglah pelajar semoga mendapat keredhaan Allah dan pahala di akhirat nanti.Semuanya bergantung kepada pilihan kita. Jika kita buat dengan ikhlas, perasaan boring dan kecewa mungkin dapat diminimakan kerana kita yang memilih untuk membantu klien kita dan kita rasa ikhlas membantunya.
Banyak sebenarnya kaedah dan teknik dalan kaunseling yang boleh digunakan. Ada dua isu di sini iaitu pertama adakah kita sebagai kaunselor tahu tentang teknik kaunseling itu dan kedua adakah kita mengaplikasinya. Jadi pilihannya kita kena tambah ilmu kita dengan menghadiri bengkel membantu individu secara lebih spesifik dan selepas itu kita hendaklah sentiasa praktis kaedah kaunseling tersebut dalam sesi kaunseling.
Semoga Cikgu Zapri suka kepada kerjaya ini kerana kita membantu memudahkan mereka mengenal diri mereka dengan lebih dekat.
“Ada orang datang ke pejabat dengan perasaan penuh gembira & ceria, ada datang dengan perasaan ‘biasa’ dan ada datang dengan perasaan serba tak kena..
Ingat lah, sesiapa yang datang hanya dengan perasaan ‘biasa’ saja, hasilnya adalah ‘biasa’ saja, sesiapa yang datang dengan ceria, hasilnya akan jadi lebih daripada biasa ataupun luar biasa. Bekerja lah dengan ceria agar menghasilkan produktiviti yang luar biasa yang akan menggembirakan orang di sekeliling kita. Semoga hasil itu akan mendapat keberkatan insyallah…” — Datuk Dr. Fadilah Kamsah
Jadi renungi lah :-
1. Ada antara kita datang ke pejabat hanya memenuhi tanggung jawab ‘DATANG BEKERJA’ tapi hampeh, hasilnya macam kita ‘TAK DATANG’ kerja.
2. Ada kala kita rasa kita BUSY giler, rupanya kita hanya ‘KELAM KABUT’.
3. Adakala kita rasa kita PERIHATIN’, tapi rupanya kita BUSY BODY.
4. Adakala kita rasa kita OPENMINDED and OUTSPOKEN tapi rupanya kita KURANG PENG’AJAR’AN.
5. Adakala kita rasa kita berpemikiran KRITIS rupanya kita hanya lebih kepada KRITIK yang mencipta KRISIS.
6. Adakala kita rasa kita ingin menjadi LEBIH MESRA tapi rupanya kita di lihat lebih MENGADA
7. Adakala kita suka bertanya ‘KENAPA DIA NI MCM TAKDE KEJE’, adalah lebih baik kita tanya ‘APA LAGI KEJE YANG AKU BOLEH BUAT’
Pejam mata dan renung lah diri, kalau kita perlu melakukan ANJAKAN PARADIGMA, maka lakukanlah segera, tapi manusia tetap manusia, sukar untuk berubah kerana kita selalu beranggapan kita lebih baik, adakah dengan merasakan itu kita sememangnya terbaik?
Maka untuk itu, mari kita mula senyum, ceria, mesra sesama kita dan tingkat kerjasama dalam kerja, tak rugi kita semai rasa ‘kekeluargaan’ dalam tugasan, kalau kita kurang kerja, cari la kerja membantu teman-teman yang lain.
Tak dapat gaji lebih pun tak apa sebab pahala dapat, kita draw kat akhirat nanti, tapi kalau kita asyik dengki mendengki, nasib la sebab dah ditentukan jalan yang sukar itu yang kita pilih…
Renungi lah, berapa orang kawan kita dan berapa orang lawan kita, nescaya itu la kayu pengukur diri yang sebaiknya…