Tahniah diucapkan kepada semua warga SK Pedas kerana berjaya menganjurkan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah Kebangsaan Pedas pada 5/3/2010. Sekalung penghargaan kepada guru-guru Panitia Pendidikan Agama Islam dan j-QAF. Tema majlis sambutan ialah Memantapkan Ukhwah ,Memperkasa Ummah.Majlis dipenuhi dengan aktiviti perarakan, pertandingan mewarna, mereka cipta kain sepanduk dan deklamasi sajak. Disamping itu satu ceramah atau perkongsian ilmu telah dilaksanakan dengan jayanya oleh Ust. Abd.Malek Norakit, Ketua Jabatan JAPIM,Institut Perguruan Malaysia Kampus Raja Melewar,Seremban. Sesungguhnya majlis ini merupakan satu cara kita menyemai kecintaan terhadap nabi Muhamad S.A.W kepada anak-anak didik.
Mencintai Rasul SAW menjadi satu kewajipan dalam konteks ketaatan, menjadi inspirasi dalam konteks dakwah, sebagai silibus dalam prinsip kehidupan sama ada suka ataupun tidak. Umar Al Khatab pernah ditanya oleh Rasul SAW terhadap siapa yang paling engkau cintai, maka Umar lah.A tidak menyebut Rasul SAW, lalu Rasul SAW menegur dengan sabdanya :"Tidak beriman seseorang sehingga dia mencintai aku lebih daripada dirinya sendiri". Lalu Umar menukar pengakuan dengan mengatakan beliau mencintai Baginda melebihi diri sendiri dan sanak saudara. Penghayatan nilai-nilai nabawi inilah yang berjaya membawa watak yang setia, jujur dan beriman dikalangan sahabat baginda. Dengan ini, kita dapat membina seorang insan yang berjiwa kental, beramanah, berbudaya ilmu, berfikiran dinamik, berdaya saing, berperikemanusiaan dan sentiasa menanam semangat roh jihad yang menjadi asas kekuatan Tamadun Islam berkurun lamanya pada masa yang lampau. Semua ini adalah pengajaran yang didapati dari sirah perjuangan dan keperibadian Nabi Muhamad SAW.
Maulidur Rasul, hari yang penuh berakah ini disebut oleh Ibn Kathir dalam kitabnya bahawa "Malam kelahiran Nabi Agung ini adalah satu malam yang penuh berkat, penuh kemuliaan, keagungan, alam yang diterangi cahaya yang indah serta seluruh makhluk bergembira pada saat tersebut. Inilah malam yang tidak ternilai harganya bagi pengikut setia Nabi Muhamad SAW. Sesungguhnya Allah dan para malaikat sentiasa berselawat ke atas Rasul SAW melalui firman Allah yang bermaksud :"Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi Muhamad SAW dan berilah salam dengan kesungguhan yang nyata". (Al Ahzab ayat 56). Ini merupakan sanjungan Allah terhadap Muhamad SAW dihadapan para malaikat.
Akhirnya, marilah kita sama-sama memohon kepada Allah agar mengukuh landasan yang dibina dan ditinggalkan oleh baginda SAW tidak diseleweng dan dicantas serta dihalang oleh mereka yang takut pada perjuangan Islam. Menjadikan kita sebagai pengikut setia yang sentiasa memahami apa yang diperintah dan menjauhi segala larangan baginda dan menghimpunkan kita daripada umatnya di akhirat agar baginda mengaku diri kita adalah sebahagian dari umatnya dan kita minta dijauhkan menjadi mereka yang tidak digolongkan dari umat Muhamad SAW. Nauzubillah min zalik. Perayaan Maulidur Rasul ini adalah tanda kasih sayang kita kepada Baginda SAW dan rasa rendah diri dan terima kasih atas nikmat Islam yang kita rasai sekarang. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhamad SAW yang memberi penyuluh dan syafaat kita di dunia dan akhirat. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment